Beberapa syarat perlu dipatuhi agar pelaksanaan Badal Haji memenuhi kehendak syarak iaitu :-
Pertama: Syarat-syarat Mewajibkan Badal Haji (Al-Ihjaj)
- a) Badal Haji hanya dapat dilaksanakan bagi pihak mereka yang disahkan tidak mampu melaksanakan ibadat haji menurut syarak. Ketidakmampuan ini merangkumi perkara-perkara berikut:
- i) meninggal dunia;
- ii) dikurung (dipenjara atau sebagainya);
iii) dihalang;
- iv) menghidap penyakit yang tidak akan sembuh;
- v) mengalami kecacatan fizikal seperti buta (jika ia tidak mampu mengadakan pemandu); dan
- vi) usia tua yang tidak mampu melakukan ibadat haji dan menempuh perjalanan yang jauh.
Ketidakmampuan yang disyaratkan ini hendaklah sesuatu yang dijangka akan berterusan sehingga seseorang yang wajib melakukan ibadat haji itu meninggal dunia.
Kedua: Syarat-syarat Bagi Pelaksana Badal Haji
- Ia wajiblah dilakukan oleh mereka yang sudah melakukan ibadat haji untuk dirinya sendiri. Jika ia dilakukan oleh mereka yang belum melakukan ibadat haji, maka haji tersebut dianggap telah dilakukan bagi dirinya sendiri dan bukan bagi pihak mereka yang mewakilkan atau mengupahnya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a: Bermaksud: “Nabi Muhammad S.A.W. telah mendengar seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, adakah aku boleh menunaikan haji bagi Syubrumah? Rasulullah bertanya: Siapakah Syubrumah? Lelaki itu menjawab: Dia adalah saudaraku atau salah seorang dari kaum kerabatku. Rasulullah bertanya lagi: Adakah kamu telah menunaikan haji bagi dirimu? Lelaki itu menjawab: Belum. Rasulullah bersabda: Tunaikanlah haji bagi dirimu dahulu, kemudian barulah kamu menunaikan haji bagi Syubrumah. ”
Ketiga: Syarat-syarat sah Badal Haji
- a) Mereka yang melaksanakan Badal Haji perlu mendapat keizinan daripada individu yang tidak mampu menunaikan ibadat haji (ma’dhub) tersebut jika dia masih hidup. Jika dia sudah meninggal dunia, mereka tidak memerlukan sebarang keizinan atau wasiat daripada si mati di dalam menunaikan Badal Haji tersebut.
- b) Perbelanjaan atau upah bagi melaksanakan Badal Haji ini hendaklah diambil daripada harta mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji. Jika dia meninggal dunia, ia boleh diambil daripada sebahagian atau keseluruhan harta peninggalannya kerana ibadat haji adalah sama sebagaimana hutang seperti yang disebutkan di dalam hadis di atas.
Imam An-Nawawi menjelaskan melalui tulisan beliau iaitu Raudhatut Talibin, Badal Haji dilakukan di dalam dua keadaan bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang harta atau si mati yang tidak mempunyai harta peninggalan. Dua keadaan tersebut ialah:
- i) Anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) memberi bantuan kewangan dalam bentuk upah menunaikan Badal Haji. Bantuan kewangan yang diberi ini dianggap sebagai sedekah jariah.
- ii) Anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) tersebut boleh menunaikan sendiri Badal Haji ini dengan syarat:
- Sudah menunaikan ibadat haji;
- Ia ditunaikan oleh mereka yang boleh dipercayai dari segi syarak; dan
- Tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan ibadat haji.
- Berniat menunaikan haji bagi pihak mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji tersebut atau si mati seperti: “Sahaja aku berniat menunaikan haji bagi pihak si fulan bin si fulan dan berihram dengannya kerana Allah S.W.T”.
Di samping itu juga, sekiranya dia berniat melakukan Haji Qiran sedangkan dia telah diupah bagi melakukan Haji Ifrad, maka ibadat haji tersebut tetap sah dan diterima dari sudut syarak. Akan tetapi, jika dia berniat melakukan Haji Tamattu’ sedangkan dia telah diupah bagi melakukan Haji Ifrad, maka haji tersebut tidak sah.
- d) Seseorang yang menerima upah Badal Haji perlu melaksanakannya dengan dirinya sendiri (jika akad Ijarah ’Ainiyyah). Sekiranya dia sakit atau mempunyai halangan untuk melaksanakannya, dia boleh mewakilkannya kepada orang lain (jika akad Ijarah Zhimmiyyah) sekiranya mendapat:
- i) Keizinan daripada pengupah; atau
- ii) Pengupah melafazkan akad secara umum.
- e) Para ulamak bersepakat bahawa mereka yang melaksanakan Badal Haji perlu melaksanakannya dari miqat mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji atau si mati tersebut.
- f) Seseorang pelaksana Badal Haji hanya boleh menerima satu upah pelaksanaan Badal Haji bagi setiap musim haji.
- g) Seseorang pelaksana Badal Haji tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membatalkan ibadat haji yang sedang ditunaikan seperti bersetubuh dan sebagainya. Jika perbuatan tersebut tetap dilakukan, dia wajib menqadha’kan ibadat haji yang telah terbatal.