Frequently Asked Questions (FAQs)
Soal Jawab khusus mengenai persoalan berkaitan Upah Haji, Dalil, dan Syarat Sah Badal Haji.
Apakah maksud badal haji/upah haji?
Badal ertinya “Ganti”, “Pengganti”, atau yang “Digantikan”. Oleh itu Badal Haji adalah menggantikan orang lain dalam melaksanakan ibadah haji kerana adanya halangan tertentu seperti penyakit, usia tua (uzur) atau kematian bagi melaksanakan kesemua Rukun Islam. Seperti yang dimaksudkan dalam Surah Al-Imran ayat 97:
Maksudnya : “Disana terdapat ayat-ayat yang jelas dan ada makam Nabi Ibrahim,dan sesiapa yang memasuki nya amanlah dia.Hanya untuk Allahlah kewajipan haji atas manusia, iaitu bagi sesiapa yang mampu melakukan perjalanan ; dan sesiapa yang kafir (engkar) sesungguhnya Allah Maha Kaya dari seluruh semesta alam.”
Apakah dalil upah haji?
Terlebih dahulu,kita sentuh serba ringkas tentang ibadah haji. Haji adalah salah satu rukun Islam. Ia disenaraikan bersama dengan mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Kefarduannya jelas berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 97 bermaksud: (Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk). Manakala sabda Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Islam itu dibina atas lima perkara: Kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa (pada bulan) Ramadan). (Riwayat Muttafaq Alaih).
Lantaran itu, jelas di sini bahawa ibadah haji wajib ke atas setiap Muslim, baligh, berakal, merdeka, aman perjalanan dan berkemampuan. Satu syarat tambahan untuk wanita iaitu adanya mahram bersamanya.
Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan keharusan mengerjakan haji untuk orang lain. Di antaranya:
- Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa seorang wanita dari Khas`am datang menemui Nabi s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah! Di antara amalan-amalan yang difardukan oleh Allah ke atas hamba-Nya ialah haji yang dikenakan ke atas bapa saya yang sudah tua dan tidak mampu menaiki kenderaan untuk melakukannya, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: ”Ya!” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
- Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji dan dia tidak mengerjakaannya sehingga meninggal dunia, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Baginda: ”Ya! Tunaikanlah haji untuknya. Pada pendapat kamu andainya ibu kamu mempunyai hutang, bukankah kamu yang melangsaikannya? Tunaikanlah hak Allah yang wajib atas kamu kerana hutang kepada Allah itu lebih wajar ditunaikan.” (Riwayat Bukhari).
- Ibnu Abbas juga meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa saudara atau kerabat seorang yang bernama Syubrumah bertanya kepada Nabi s.a.w. bagi menunaikan haji untuknya, lantas Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu sendiri?” Jawabnya: ”Tidak!” Sabda Baginda: ”Tunaikanlah untuk dirimu, kemudian tunaikanlah untuk Syubrumah.” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.
- Imam Ahmad dan Nasai telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair katanya: “Telah datang seorang lelaki dari Khas`am kepada Nabi s.a.w. dan berkata: “Bapa saya telah memeluk Islam, sedangkan usianya sudah lanjut dan tidak berupaya menaiki kenderaan sedangkan haji wajib ke atasnya, adakah boleh saya menunaikan haji untuknya?” Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Apakah kamu anaknya yang paling tua?” Jawabnya: ”Ya!” Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tunaikanlah haji untuknya.” (Riwayat Ahmad dan Nasai).
Siapakah yang boleh menunaikan upah haji?
Yang boleh menunaikan upah haji perlulah telah menunaikan haji untuk dirinya. Jika pengupah haji tidak menunaikan haji bagi dirinya terlebih dahulu, maka upah haji tersebut tidak sah.
Apakah Syarat Badal Haji Yang Sah?
Walaupun syarat badal haji diharuskan tetapi hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:
- Tidak sah badal haji bagi yang mampu untuk melakukannya sendiri.
- Boleh dilakukan upah haji ini kepada mereka yang sakit tak sembuh, lumpuh atau kepada mereka yang meninggal dunia.
- Badal haji tidak sah kepada orang fakir kerana ketiadaan wang, ia hanya untuk orang yang lumpuh/sakit/tidak berdaya dan tak sembuh dari penyakitnya itu.
- Tidak harus seseorang itu melakukan badal haji kepada orang lain kecuali dia telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri.
- Boleh bagi wanita ambil badal haji untuk lelaki dan sebaliknya
- Bila mati seseorang itu dan dia memiliki wang, maka selayaknya dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain dengan menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat ataupun tidak.
- Sebaiknya badal haji itu dilaksanakan oleh anaknya, kerabatnya dan saudara mara yang terdekat dengannya. Jika dilakukan oleh orang lain, maka hukumnya adalah harus.
- Tidak boleh seseorang yang diwakilkan itu, mewakilkan pula kepada orang lain dengan syarat ia diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan ia bersetuju dengan tindakan itu.
- Perlu diwakilkan atau diupah haji itu kepada seorg yang baik, jujur, amanah dan berilmu untuk melaksanakan badal haji tersebut.